- kumara885
- 14 Okt
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Seramai 10,600 rakyat Malaysia telah bermanfaat menerusi rebat pembelian motosikal elektrik dengan menerima RM2,400 seorang di bawah Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) sehingga 8 Oktober lalu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan, skim MARiiCas yang diumumkan di bawah Belanjawan 2024 dan dilanjutkan pelaksanaannya hingga 2025 itu, disasarkan kepada warganegara Malaysia berpendapatan tahunan bawah RM120,000, termasuk pelajar dan pesara yang memiliki lesen motosikal sah (B, B1 atau B2).
Katanya, program berkenaan menyasarkan seramai 12,155 penerima manfaat dengan peruntukan keseluruhan RM29.17 juta.
"Setakat ini, pelaksanaan program sudah mencapai 87.2 peratus daripada sasaran, membabitkan peruntukan RM26.09 juta," katanya di Parlimen.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini sebagai menjawab soalan Pang Hok Liong (PH–Labis) yang meminta penjelasan mengenai jumlah subsidi yang sudah disalurkan oleh kerajaan mengikut tahun dan model kenderaan elektrik serta isu pemohon berdaftar MARiiCas yang gagal menuntut subsidi walaupun pendaftaran dan kod QR masih sah.
Tambah Tengku Zafrul, peningkatan sambutan terhadap skim tersebut dalam kalangan rakyat amat memberangsangkan.
Justeru katanya, kerajaan di bawah Kementerian Kewangan kini sedang mempertimbangkan cadangan untuk melanjutkan pelaksanaannya di bawah Belanjawan 2026.
"Bagi tahun 2024, sebanyak 19 model motosikal elektrik sudah ditawarkan kepada 3,582 pemohon berjaya, manakala bagi tahun 2025 (sehingga 1 September), sebanyak 28 model ditawarkan kepada 7,018 pemohon, menunjukkan peningkatan hampir 100 peratus.
"Mengenai pemohon yang gagal menuntut rebat walaupun berdaftar dan mempunyai kod QR sah, perkara itu berlaku kerana individu berkenaan tidak memenuhi syarat kelayakan, termasuk had pendapatan tahunan dan pemilikan lesen motosikal yang sah," tegas Tengku Zafrul lagi.





Komen