top of page

Op Noda: 103 premis sarang maksiat haram digempur seluruh negara - Bukit Aman

  • S.KUMARA
  • 10 Nov
  • 2 min membaca
Sebanyak 103  sarang maksiat tanpa lesen digempur pasukan Bukit Aman di seluruh negara. Kredit Foto:Bukit Aman
Sebanyak 103 sarang maksiat tanpa lesen digempur pasukan Bukit Aman di seluruh negara. Kredit Foto:Bukit Aman

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus bekerja keras untuk memastikan pusat hiburan tidak berlesen yang menjadi sarang maksiat di negara ini dibanteras sepenuhnya.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, sebanyak 118 pusat hiburan yang beroperasi di seluruh negara telah digempur dan periksa dalam satu operasi khas yang dijalankan pada Jumaat dan Sabtu minggu lalu.


"Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati sebanyak 103 premis ini tidak mempunyai lesen hiburan sah.


"Sebagai tindakan lanjut, polis juga telah menahan seramai 398 orang terdiri daripada lima pemilik premis, tiga pengurus premis, 150 pekerja, 112 pelanggan dan 128 pelayan pelanggan atau gadis pelayan pelanggan (GRO) terdiri daripada wanita warga asing.


"Mengikut pecahan tangkapan, kesemua yang ditahan terdiri daripada 87 warga tempatan dan 311 warga asing," katanya satu dalam kenyataan pada tengah malam tadi.


Tambah Kumar, serbuan itu dijalankan menerusi Op Noda melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), JSJ Bukit Aman dan JSJ kontinjen negeri.


Op Noda berkenaan turut disertai dan dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan.


M Kumar turut menjelaskan, dalam operasi sama pasukannya turut berjaya merampas sejumlah wang tunai dan pelbagai peralatan bagi tujuan hiburan di premis tersebut.


Sementara itu, kesemua individu berusia dalam lingkungan 19 hingga 55 tahun yang ditahan dalam operasi berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah berhampiran untuk proses dokumentasi bagi tindakan lanjut.


Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, enakmen hiburan serta ordinan hiburan negeri.


M Kumar turut menegaskan bahawa Op Noda akan terus dipergiatkan tanpa kompromi untuk memastikan pusat hiburan beroperasi mengikut syarat lesen dan meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan tersebut. - malaysiatoday


Komen


bottom of page