top of page

17 penjawat awam antara 201 lelaki ditahan di 'Sauna Gay' disyaki aktiviti tidak bermoral

  • S.KUMARA
  • 29 Nov
  • 2 min membaca
FOTO KREDIT BERNAMA
FOTO KREDIT BERNAMA

17 penjawat awam antara 201 lelaki ditahan di 'Sauna Gay' disyaki aktiviti tidak bermoral


KUALA LUMPUR - Sebuah pusat gimnasium dan sauna yang disyaki menjadi sarang untuk lelaki gay melampiaskan nafsu songsang sejenis berjaya dibongkar pihak berkuasa di ibu negara.


Hasilnya, seramai 17 penjawat awam, remaja dan warga emas antara 201 pengunjung lelaki ditahan dalam serbuan tergempar ke atas premis tersebut di Chow Kit malam tadi.


Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Azani Omar berkata, premis berkenaan disyaki beroperasi setiap hari sebagai sarang aktiviti tidak bermoral itu sejak lapan ke 10 yang bulan lalu.


Menurutnya, serbuan dijalankan Pasukan KL Strike Force Polis Kuala Lumpur bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) susulan proses risikan yang dilaksanakan selama dua minggu yang lalu.


"Kita telah menahan seramai 24 warga asing, manakala selebihnya warga tempatan termasuk 17 penjawat awam yang berusia antara 19 dan 60 tahun yang mana 80 orang yang ditahan merupakan beragama Islam.


"Malah, pemeriksaan lanjut polis juga berjaya merampas sejumlah kondom dan beberapa barangan berkaitan aktiviti tidak bermoral," katanya pada sidang media di lokasi serbuan di sini lewat malam tadi.


Tambah beliau, hasil siasatan polis juga mendapati premis itu dijadikan pusat bagi golongan lelaki terbabit bertemu dan bertukar pasangan bagi melakukan perbuatan seksual songsang.


Justeru katanya, setiap pengunjung dikenakan caj RM35 untuk masuk ke premis dan tambahan RM10 bagi pendaftaran buat pelanggan kali pertama menerusi media sosial.


Dalam pada itu pemerhatian semasa serbuan itu mendapati premis itu mempunyai bahagian bawah yang dijadikan sebagai gimnasium, manakala tingkat atas sebagai sauna lengkap dengan tab mandi khas.


Turut difahamkan bahawa premis berkenaan turut menyediakan sebuah bilik khas digelar 'dark room'.


Setiap pengunjung pula perlu menanggalkan pakaian dan hanya dibenarkan memakai tuala putih yang disediakan di premis terbabit.


Mengulas lanjut Mohd Azani turut memberitahu bahawa secara keseluruhannya seramai 201 pengunjung dan tujuh pekerja premis berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.- malaysiatoday.com.my




Komen


bottom of page