top of page

17 wanita warga India dipaksa jadi pekerja seks diselamatkan

  • kumara885
  • 19 Okt
  • 2 min membaca
Datuk Kumar
Datuk Kumar

KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Jamin kerja pembantu rumah sebelum paksa melacur!


Taktik jijik satu sindiket pemerdagangan manusia yang memujuk tujuh wanita warga India dengan menjanjikan kerja pembantu rumah sebelum mengurung dan memaksa mereka menjadi pekerja pemuas nafsu seks akhirnya dilumpuhkan pihak berkuasa.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Komisioner Datuk M.Kumar berkata pada 30 September lalu jam lebih kurang 1 pagi, B Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) JSJ Bukit Aman telah melaksanakan Op Pintas (Eksploitasi Seks) di sebuah hotel penginapan yang terletak di Jalan Ampang, ibu negara.


"Hasil daripada operasi berkenaan pasukan telah berjaya menyelamatkan tujuh orang wanita warga India yang berumur lingkungan antara 25 hingga 40 tahun yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang.


"Siasatan polis mendapati kesemua mangsa berkenaan yang datang ke Malaysia telah dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah tetapi dipaksa sindiket untuk bekerja sebagai pekerja seks dan dikawal ketat oleh sindiket tersebut.


"Malah, siasatan lanjut mendedahkan bahawa ada mangsa yang turut dipukul dan diugut sekiranya enggan mematuhi arahan yang diberikan oleh sindiket tersebut," katanya menerusi kenyataan tengah malam tadi.


Dalam perkembangan sama tambah beliau, polis menerusi operasi sama berjaya melakukan tangkapan terhadap 12 orang suspek yang terdiri dua warga tempatan berumur 34 dan 63 tahun serta 10 warga India termasuk empat wanita berusia lingkungan 21 hingga 58 tahun.


Malah katanya, kesemua suspek yang ditangkap itu disyaki merupakan ahli sindiket yang berperanan memperdagangkan wanita-wanita yang diselamatkan itu.


"Ekoran daripada tangkapan itu, pada 16 Oktober lalu kertas siasatan dalam kes berkenaan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut.


"Hasilnya Peguam Negara bersetuju menuduh lima orang tangkapan termasuk seorang anggota polis yang terlibat sebagai ahli sindiket itu di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan juga denda jika disabitkan kesalahan.


"Selain itu lima lagi tangkapan warga asing turut dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh juga dikenakan 6 sebatan jika disabitkan kesalahan," ujarnya lagi.


Menurut Kumar, kesemua dituduh di Mahkamah Mahkamah Sesyen Jenayah 9, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur pada Jumaat 17 Oktober lalu.

Beliau juga memberi amaran bahawa PDRM tidak akan berkompromi dengan mana mana pihak yang terlibat dengan jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku di bawah ATIPSOM 2007.


Komen


bottom of page