2.67 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya utama sempena Deepavali- LLM
- kumara885
- 13 Okt
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Dengan berbaki hanya seminggu lagi untuk masyarakat India di negara ini menyambut perayaan Deepavali 20 Oktober ini, sebanyak 2.67 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya utama pada hari-hari puncak.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi satu kenyataannya berkata, sebanyak 2.2 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di bawah PLUS Malaysia Berhad (PLUS), manakala Lebuhraya KL-Karak dijangka mencatatkan 170,000 kenderaan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (90,000), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (40,000) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (170,000).
"LLM juga menjangkakan peningkatan trafik di lebuh raya utama seawal pada Khamis 16 Oktober ini bagi pengguna yang menuju ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur," katanya.
Bagi mendepani peningkatan trafik, LLM mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuh raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya adalah selamat dan lancar.
Antara langkah diambil oleh LLM termasuk memastikan tiada penutupan lorong bermula 17 hingga 23 Okt kecuali bagi kerja kecemasan, mengaktifkan laluan 'smart lane' di 29 lokasi yang dikenal pasti di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Selain itu, LLM juga memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol.
LLM turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2026 semalam mengenai pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Deepavali.
Diskaun tol sebanyak 50 peratus itu akan dilaksanakan pada 18 Oktober bermula jam 12 tengah malam sehingga 11.59 malam 19 Oktober (Ahad) untuk memudahkan pergerakan rakyat ke kampung halaman masing-masing tanpa sebarang masalah di lebuh raya kelak.





Komen