Nahas R&R Juru: 2 rakan temui ajal rempuh lori muatan buah
- S.KUMARA
- 20 Nov
- 2 min membaca

SEBERANG PERAI – Hasrat dua rakan karib yang ingin pulang ke rumah selepas selesai menjamu selera bersama berakhir dengan tragedi menyedihkan apabila maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka merempuh dengan sebuah lori yang membawa muatan buah.
Insiden menyayat hati itu menimpa mangsa di Kilometer 141.5 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Juru, malam tadi.
Mangsa pemandu, Muhammad Fakhrur Razi Usri, 31 dan penumpang, Mohamad Nizar Abdul Rahman, 32, yang tersepit dalam kenderaan remuk jenis Toyota Estima itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit pada bahagian hadapan kenderaannya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, semasa kejadian, kedua-dua mangsa dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Juru selepas keluar makan bersama.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 11.22 malam tadi sebelum sepasukan anggota penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian tersebut.
"Operasi menyelamat mangsa melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai yang diketuai Penguasa Bomba Kanan l Nor Azli Md Hassan.
“Kemalangan jalan raya berlaku melibatkan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Estima dan sebuah lori membawa muatan buah-buahan.
“Terdapat dua mangsa iaitu pemandu dan penumpang kereta telah tersepit manakala seorang pemandu lori berusia 37 tahun ditemui selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam nahas tersebut," katanya lagi.
Tambah beliau, Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan dengan menggunakan peralatan khas.
"Kedua-dua mangsa tersepit dalam MPV itu telah berjaya dikeluarkan pada pukul 11.56 malam dan mereka disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut bagi menjalankan proses bedah siasat di hospital," ujar beliau.





Komen