22 cedera dalam pertunjukan bunga api Deepavali
- kumara885
- 21 Okt
- 1 min membaca

KULIM - Seramai 22 orang awam cedera manakala salah seorang daripadanya mengalami kecederaan serius di dahi selepas terkena letupan mercun dalam kejadian di Paya Besar di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintenden Zulkifli Azizan berkata, kejadian berlaku sekitar am 12.45 tengah malam ketika orang ramai berkumpul di kawasan berkenaan bagi menyaksikan bunga api.
Katanya, kesemua mangsa mengalami luka biasa namun hanya seorang mangsa mengalami kecederaan serius di dahi iaitu luka sepanjang 5 sentimeter.
"Mangsa yang lain dikesan hanya mengalami luka kecil akibat terkena belerang di bahagian badan dan tangan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Tambah beliau, maklumat awal diterima semasa anggota bertugas sedang membuat rondaan operasi pencegahan jenayah lapangan dari jam 9 malam Ahad hingga 2 pagi Isnin.
"Pasukan bantuan sampai di tempat kejadian sebelum mendapati terdapat mangsa cedera akibat terkena mercun," ujarnya.
Jelas beliau, dua buah ambulan telah sampai ke tempat kejadian bagi memberi bantuan awal kepada mangsa.
Malah katanya, kesesakan lalu lintas berjaya dikawal setelah orang ramai beredar sebaik sahaja ambulans membawa mangsa cedera ke Hospital Kulim.
Tiada tangkapan dibuat polis setakat ini dan pegawai penyiasat difahamkan telah ke hospital untuk merakam keterangan kesemua mangsa kejadian.
Mangsa yang mengalami kecederaan serius telah dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang manakala lima orang masih dirawat di zon merah Hospital Kulim.





Komen