top of page

Aerotrain rosak lagi: APAD diarah siasat MAHB

  • kumara885
  • 29 Okt
  • 1 min membaca
Insiden Aerotrain KLIA di Terminal rosak awal pagi tadi mengakibatkan penumpang terpaksa berjalan atas landasan .kredit foto pengguna X Fahmi Yumi.
Insiden Aerotrain KLIA di Terminal rosak awal pagi tadi mengakibatkan penumpang terpaksa berjalan atas landasan .kredit foto pengguna X Fahmi Yumi.

Aerotrain rosak: APAD diarah siasat MAHB


Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk membuka kertas siasatan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) ekoran gangguan terbaharu dalam perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi tadi.


Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu diambil berikutan perkhidmatan Aerotrain telah beroperasi selama beberapa bulan dan kementerian memandang serius setiap insiden gangguan yang berlaku sehingga kini.


Katanya, pada peringkat awal operasi, kementerian mengambil maklum bahawa MAHB memerlukan masa untuk menyesuaikan diri memandangkan perkhidmatan ini masih dalam fasa penyesuaian awal.


"Namun, selepas beberapa bulan beroperasi tindakan tegas akan diambil bagi setiap gangguan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Tambah Anthony Loke, lesen pengendali yang dikeluarkan kepada MAHB menetapkan bahawa syarikat itu wajib memastikan tahap perkhidmatan Aerotrain yang memuaskan kepada pengguna.


Jelasnya lagi, di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, pelanggaran syarat lesen pengendali boleh dikenakan kompaun hingga RM250,000 bagi setiap kesalahan.


Terdahulu, perkhidmatan Aerotrain di KLIA dilaporkan sekali lagi mengalami kerosakan awal pagi tadi, memaksa penumpang membawa sendiri bagasi dan berjalan dalam gelap di atas platform.


Sejak kembali beroperasi pada Julai 2025, perkhidmatan tersebut telah mengalami beberapa gangguan, termasuk kejadian melibatkan gangguan kuasa pada 15 Okt lepas.


Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah memaklumkan di Dewan Rakyat awal bulan ini sebanyak 19 insiden direkodkan antara 2 Julai hingga 30 Sept.


Komen


bottom of page