Air mani di dubur bayi usia 9 bulan, suami pengasuh dijel 30 tahun, 13 sebatan
- S.KUMARA
- 24 Nov
- 2 min membaca

SHAH ALAM – Selepas empat tahun didakwa meliwat dan membunuh anak asuhan isterinya yang berusia sembilan bulan, seorang penganggur akhirnya dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini.
Tertuduh Mohamed Badruldin Mohamed, 40, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Datuk Aslam Zainuddin.
Bagi kes meliwat, lelaki itu dihukum penjara selama 10 tahun dan satu sebatan manakala bagi kesalahan membunuh bayi itu dia dipenjara selama 30 tahun dan dikenakan 12 sebatan.
Mahkamah dalam keputusan sama turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bermula tarikh tangkap iaitu pada 29 April 2021.
Berdasarkan fakta kes, terdapat kesan asid deoksiribonukleik (DNA) dan ekstrak air mani milik tertuduh di dubur dan usus besar bayi itu.
Hasil bedah siasat oleh Pakar Perubatan Perunding Forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh ketika itu, Dr Rohayu Shahar Adnan juga mengesahkan wujudnya kecederaan akibat objek tumpul pada dubur mangsa.
“Punca kematian ialah ‘smothering’ (keadaan yang melemaskan), sampel DNA juga mengesahkan terdapat ekstrak sel sperma milik Orang Kena Tuduh (OKT) pada dubur dan rektum si mati.
“Tertuduh didapati melakukan persetubuhan luar tabii. Ada juga luka koyak dan lebam yang boleh disebabkan oleh jari atau zakar, sekali gus mengukuhkan dakwaan penderaan seksual terhadap bayi tersebut,” menurut fakta kes pendakwaan tersebut.
Pada hari kejadian, pengasuh, Norhidayah Ab Hamid memberitahu ibu mangsa, Robiatul' Adawiah Aziz bahawa anaknya dibawa ke Hospital Sungai Buloh kerana tidak sedarkan diri.
Tertuduh didakwa membunuh mangsa di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang di sini pada pukul 8 pagi dan 3.30 petang, 27 April 2021.
Pada jam 7 malam, sepasukan doktor dan jururawat membuat teknik bantuan asas hayat atau 'Cardiopulmonary Resuscitation' (CPR) kemudian memasukkan tiub bantuan pernafasan dan empat jenis ubat jantung selain menstabilkan tekanan darah.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12.18 tengah hari, 28 April 2021.





Komen