Aktiviti ‘yeye’ di mes ATM dikecam, wanita bukan objek seks – Menteri Pertahanan
- kirthana63
- 12 Jan
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa wanita tidak seharusnya dijadikan objek seks dan hiburan di mes Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak awal mengharamkan sebarang bentuk aktiviti tidak bersahsiah di semua kem ATM.
“Tidak kira dipanggil ‘yeye’, ‘yaya’ atau apa jua istilah, perbuatan itu adalah keji, tidak bermoral dan bercanggah dengan tradisi kehidupan Islam.
“Aktiviti haram dan tidak bermoral sebegini tidak sepatutnya berlaku lagi di mana-mana kem kita.
“Tiada sesiapa wajar berdepan sebarang bentuk pencabulan hak asasi. Tiada wanita boleh dijadikan objek seks dan hiburan di mes serta Wisma Perwira kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Kementerian Pertahanan, di sini, Isnin.
Mohamad Khaled menegaskan, mana-mana individu yang terlibat dalam salah laku moral sehingga menjejaskan imej dan maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berdepan tindakan tegas, termasuk hukuman dan penyingkiran daripada perkhidmatan.
Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Pertahanan akan memperketat penguatkuasaan peraturan dan disiplin bagi memastikan tiada sebarang toleransi terhadap salah laku dalam kalangan anggota ATM.





Komen