- kumara885
- 2 hari lalu
- 1 min membaca

GEORGE TOWN – Keputusan Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (PN) mengekalkan Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai sebagai pengerusi PN negeri Pulau Pinang kali ini dipertikaikan oleh Parti Amanah Negara.
Tindakan itu disifatkan sebagai kepimpinan PN gagal membaca realiti politik negeri ini apabila terus mengekalkan Dominic Lau di jawatan tersebut tanpa menghormati suara akar umbi parti gabungan PN.
Pengarah Komunikasi Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang, Abrar Sadiq berkata, meskipun keputusan pelantikan semula itu dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti, namun ia seolah-olah mengetepikan suara ahli akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Kedudukan terkini Gerakan yang tidak memenangi sebarang kerusi di Pulau Pinang pada pilihan raya sebelum ini menjadi perdebatan kali ini.
“Kami, sebagai komponen Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan (PH), melihat keputusan ini sebagai tanda bahawa PN semakin lemah dan tidak mempunyai saingan baharu yang mampu mencabar kestabilan kerajaan negeri hari ini.
“Rakyat Pulau Pinang sendiri telah menolak PN dengan jelas dalam dua pilihan raya lalu, dan trend itu menunjukkan penolakan terhadap politik sempit serta retorik kosong yang tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah Abrar lagi, pihaknya yakin bahawa rakyat negeri ini akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang matang, harmoni dan konsisten dalam membela semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang.





Komen