Anggota tentera, pelajar rentung Vios langgar pokok sawit
- kumara885
- 24 Okt
- 1 min membaca

KOTA TINGGI: Polis berjaya mengenal pasti identiti dua mangsa yang rentung selepas kereta dinaiki mereka merempuh pokok kelapa sawit dan terbakar dalam kejadian ngeri di Kilometer (KM) 32, Jalan Tanjung Balau-Sedili di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata mangsa lelaki dikenali sebagai Muhammad Daniel Saberi, 21, adalah seorang tentera namun kini tidak bekerja.
Dalam kemalangan itu, Muhammad Daniel cedera parah dan terbakar seluruh anggota badan.
Menurutnya, penumpang hadapan pula ialah Aiza Nur Elysha Sabri berusia 17 tahun.
"Dia adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu cedera parah dan terbakar seluruh anggota badan. Kedua-duanya maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Tambah beliau, siasatan awal polis mendapati kereta dipandu Muhammad Daniel disyaki hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dan melanggar pokok kelapa sawit berhampiran kawasan kebun.
Jelasnya lagi, akibat perlanggaran itu kenderaan itu terbakar sebelum kedua-dua mangsa rentung di tempat kejadian.
"Mayat kedua-dua simati telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi proses bedah siasat bagi membantu proses siasatan lanjut.
"Kes sedang disiasat oleh polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," tegas beliau.





Komen