top of page

Angka korban bot karam Langkawi meningkat kepada 29 orang

  • S.KUMARA
  • 3 hari lalu
  • 2 min membaca
Foto:APMM
Foto:APMM

LANGKAWI – Angka terkorban dalam tragedi bot karam yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan sempadan Malaysia–Thailand kini meningkat kepada 29 orang dengan penemuan empat lagi mayat mangsa pada petang Selasa.


Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, penemuan terbaharu itu melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita, masing-masing ditemui di sekitar perairan Tanjung Belua dan Pulau Intan Kecil.


Katanya, seorang mangsa lelaki dewasa turut berjaya diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira jam 12.49 tengah hari pada jarak 0.1 batu nautika dari Tanjung Belua.


“Mangsa dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Selasa.


Tambah beliau, penemuan mayat pertama dimaklumkan oleh orang awam yang menemukan seorang wanita berhampiran Pulau Intan Kecil.


Katanya, mayat itu kemudian dibawa oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke jeti untuk proses serahan.


"Tidak lama kemudian, Jabatan Laut Malaysia (JLM) memaklumkan penemuan mayat lelaki di barat Tanjung Belua, diikuti penemuan kedua oleh Kapal Maritim (KM) SIANGIN, kira-kira 1.6 batu nautika dari lokasi sama.


"Manakala, penemuan terakhir direkodkan pada jam 4.13 petang apabila bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) FCB 1331 yang menjumpai satu lagi mayat lelaki sekitar 1 batu nautika dari Tanjung Belua," ujarnya lagi.


Beliau turut memaklumkan bahawa, setakat jam 5.30 petang, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) yang memasuki hari ketiga menyaksikan 14 orang diselamatkan, iaitu 12 lelaki dan dua wanita.


Jelasnya, setakat ini, 29 orang disahkan maut, termasuk sembilan lagi mayat yang ditemukan oleh pihak berkuasa Thailand di perairan negara berkenaan.


Romli turut meminta orang awam yang menjumpai mangsa agar segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis di talian 04-966 2750 atau talian kecemasan 999.- malaysiatoday


Komen


bottom of page