Anwar jamin pertahankan pegawai penguatkuasa berani, tegas memerangi rasuah
- kumara885
- 13 Okt
- 1 min membaca

PUTRAJAYA, 13 Oktober - Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada badan penguatkuasaan untuk bebas mengambil tindakan terhadap perasuah biarpun mereka membabitkan orang kenamaan di negara ini.
Menurut Perdana Menteri lagi, beliau akan mempertaruhkan apa saja untuk mempertahankan tindakan diambil penguat kuasa terhadap perasuah demi menjaga kepentingan negara.
Katanya, apabila menyebut mengenai penguatkuasaan terhadap gejala rasuah, beliau sedar kegusaran penguat kuasa sama ada tindakan mereka terhadap individu terbabit terutama orang kenamaan akan dipertahankan kepemimpinan dalam pasukan.
"Tetapi bila saya jelaskan, ada bukti, jangan ada penganiayaan, (tindakan perlu diambil) jalan tegas, keras, segera.
"Saya akan pertaruhkan segala-galanya untuk pertahankan mereka (pegawai penguatkuasa) dalam menjalankan tugas menyelamatkan negara ini.
"Ia bermakna, saya sendiri mesti mengepalai dan beritahu 'my full undivided support' (saya beri sokongan sepenuhnya) terhadap tindakan mereka dan kita hargai tindakan ini," katanya.
Anwar berkata demikian semasa memberikan amanat dalam majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Oktober 2025 pada pagi Isnin.
Turut hadir, Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.





Komen