Bahana rakam wanita, video lucah: Penjawat awam dicekup
- S.KUMARA
- 20 Nov
- 1 min membaca

TEMERLOH - Tindakan seorang penjawat awam yang dikesan merakam video seorang wanita secara 'curi' di Pekan Sehari Temerloh dalam insiden pada 9 November lalu sebelum video itu tular di media sosial akhirnya memakan diri apabila diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron sambil mengesahkan maklumat itu berkata, suspek lelaki berusia 41 tahun itu ditahan polis pada hari sama sejurus selepas insiden itu setelah mangsa seorang suri rumah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Katanya, rentetan daripada aduan mangsa, polis bertindak menahan suspek kira-kira jam 10 pagi.
"Hasil tangkapan suspek turut membawa kepada rampasan sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk merakam mangsa semasa kejadian itu.
"Pemeriksaan lanjut mendapati telefon berkenaan turut mengandungi video dan gambar berunsur lucah," katanya di sini.
Tambah Mohd Nasyim lagi, perbuatan suspek itu disedari mangsa berusia 33 tahun itu sebelum dia bertindak menahan lelaki tersebut dengan bantuan pengunjung pasar sehari itu.
Malah katanya, bertindak atas laporan mangsa polis bergegas ke lokasi dan melakukan penahanan semula ke atas suspek serta merampas telefon bimbit miliknya.
"Suspek telah ditahan 24 jam dan direkodkan keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
"Polis masih menjalankan siasatan bagi mendapatkan laporan analisa kandungan telefon yang digunakan suspek.
"Kertas siasatan telah dibuka dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 509A dan 292 Kanun Keseksaan," tegasnya. - malaysiatoday





Komen