- kumara885
- 2 hari lalu
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah meluahkan rasa kekesalan dan mengecam keras tindakan segelintir individu yang sanggup menghina serta mengugut pemain badminton negara menerusi media sosial sejak akhir-akhir ini.
Badan induk itu menegaskan bahawa sukan tidak boleh dijadikan medan menabur kebencian atau melepaskan amarah, sebaliknya perlu menjadi wahana penyatuan dan semangat positif dalam kalangan anggota masyarakat.
“BAM mengambil maklum tentang insiden penyalahgunaan media sosial yang menjurus kepada penghinaan dan ugutan terhadap atlet negara.
“Tidak wajar sebarang bentuk kebencian, diskriminasi atau intimidasi berlaku dalam arena sukan mahupun dalam kehidupan seharian,” kata badan induk itu menerusi kenyataan baru-baru ini.
BAM dalam masa sama menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan pemain sentiasa menjadi keutamaan, sambil memberi jaminan setiap atlet akan terus mendapat perlindungan serta sokongan moral sewajarnya.
“Kami menggesa semua pihak agar menzahirkan pandangan dengan berhemah dan memberi dorongan positif kepada pemain yang berjuang mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa,” jelasnya lagi.
BAM juga turut memberi jaminan akan terus memantau perkembangan isu tersebut dengan teliti dan akan berdiri teguh di belakang pemain yang menjadi sasaran kecaman tidak berasas.





Komen