Banjir Hatyai: 4,000 RAKYAT Malaysia terjejas
- Editorial
- 23 Nov
- 1 min membaca

SHAH ALAM - Kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang terjejas dengan banjir di Hatyai dan beberapa daerah di wilayah Songkhla, Thailand dilaporkan selamat kerana kebanyakannya menginap di hotel bertingkat.
Bagaimanapun, sesetengah rakyat Malaysia mengalami gangguan bekalan elektrik sementara dan kekurangan akses bekalan makanan akibat gangguan setempat.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok terus memantau rapat situasi banjir di Hatyai dan beberapa daerah berdekatan itu.
"Konsulat Jeneral di Songkhla telah mengaktifkan pasukan operasinya bagi membantu rakyat Malaysia yang mungkin terkandas atau memerlukan bantuan.
“Konsulat Jeneral juga berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan, hotel dan kumpulan rakyat Malaysia di kawasan terjejas," kata kenyataan itu pada Sabtu malam.
Menurut kenyataan itu, Polis Pelancong Thailand dan pihak berkuasa tempatan telah digerakkan sepenuhnya dan sedang aktif menguruskan keadaan.
Jelas kenyataan itu, keadaan cuaca dijangka bertambah baik, dengan hujan lebat diramalkan berhenti pada Ahad dan paras air banjir dijangka surut serta keadaan keseluruhan dijangka pulih menjelang Isnin.
“Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia di Hatyai dan kawasan sekitarnya supaya kekal berada di dalam bangunan jika boleh, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan berhati-hati di kawasan terjejas banjir.
“Rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan Konsulat Jeneral di Songkhla atau Kedutaan Besar di Bangkok turut digesa berbuat demikian,” kata kenyataan itu.
Untuk bantuan konsul, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di talian +(66 74) 311 062 bagi pertanyaan umum, +(66 74) 316 274 atau +(66 81) 990 1930 untuk kecemasan dan +(66 74) 324 004 atau 312 353 untuk bantuan tambahan atau e-mel ke mwsongkhla@kln.gov.my.





Komen