top of page

Banjir semakin buruk, 10, 914 mangsa dipindahkan di lapan negeri

  • S.KUMARA
  • 24 Nov
  • 2 min membaca
ree


SHAH ALAM – Keadaan bencana banjir di seluruh negara khususnya di lapan negeri bertambah buruk.


Mengikut laporan terkini, jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 10, 914 orang setakat jam 10.30 pagi pada Isnin, dengan lapan negeri masih terjejas.


Laporan terkini Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan bahawa jumlah itu melibatkan 3,872 keluarga dengan 71 pusat pemindahan sementara (PPS) yang aktif.


Negeri Pantai Timur Kelantan masih kekal merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 8,452 orang dan kini ditempatkan di 36 PPS.


Daerah terjejas akibat banjir di Kelantan ialah membabitkan Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan turut memaklumkan bahawa situasi masih terkawal, namun pemantauan rapi diteruskan oleh pasukannya susulan daripada ramalan hujan berterusan.


Terengganu menjadi negeri kedua paling terjejas, diikuti Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak.


Pihak berkuasa mengingatkan penduduk di kawasan berisiko supaya terus mematuhi arahan pemindahan bagi mengelakkan risiko keselamatan serta tidak melakukan aktiviti di sungai atau lokasi yang berpotensi dinaiki air secara mendadak.


Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dan paras air sungai, menyediakan keperluan asas sebagai persiapan awal serta mengutamakan keselamatan keluarga sekiranya diarahkan berpindah.


Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di beberapa kawasan Pantai Timur dan utara Semenanjung sepanjang minggu ini.


Sementara itu situasi semasa banjir di Pulau Pinang pula menyaksikan seramai 242 mangsa daripada 57 keluarga terpaksa dipindahkan ke empat PPS di dua daerah di Pulau Pinang susulan banjir yang melanda sejak petang Ahad.


Menurut kemas kini di laman sesawang lnfobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga jam 7.46 pagi Isnin, tiga PPS dibuka di Seberang Perai Utara (SPU) manakala satu lagi di Seberang Perai Tengah (SPT).


Bagaimanapun cuaca di kebanyakkan kawasan dilaporkan mendung dan hujan renyai.


Empat PPS yang beroperasi ialah Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir di SPT sementara tiga lagi di SPU iaitu Pusat Pemindahan Desa Puri, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Jaya dan Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi. - malaysiatoday


Komen


bottom of page