Bas ekpres bawa 19 penumpang terbakar di Lebuhraya LTU
- S.KUMARA
- 25 Nov
- 1 min membaca

KUANTAN - Para penumpang yang sedang meneruskan perjalanan ke destinasi masing -masing menaiki sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila bas tersebut terbakar di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran Kampung Lurah Bilut, Raub pada Selasa.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian itu yang dilaporkan berlaku sekitar jam 4.41 petang.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, seramai tujuh anggota bersama pegawai bomba serta sebuah jentera pemadam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub telah bergegas ke lokasi untuk bantuan lanjut.
"Pemeriksaan anggota di lokasi mendapati kebakaran berlaku pada bahagian enjin bas tersebut.
"Bagaimanapun, kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh orang awam dengan menggunakan alat pemadam api sebelum pihak bomba dan jentera pemandam tiba di lokasi kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut juga mendapati kesemua 19 penumpang termasuk pemandu bas yang berada dalam bas berkenaan semasa kebakaran terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kerja-kerja penyejukan menggunakan aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba telah dilakukan bagi mengelakkan kebakaran berulang.
"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan jam 5.24 petang," tegasnya lagi.- malaysiatoday





Komen