Bas ekspres terbakar rempuh lori, sembilan cedera ringan
- kumara885
- 24 Okt
- 1 min membaca

BATU PAHAT - Sebuah bas ekspres yang membawa sembilan penumpang dilaporkan telah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori sebelum terbakar dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 78.7, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani sambil mengesahkan nahas lebuh raya itu berkata, siasatan awal polis mendapati semasa kejadian bas ekspres tersebut bertolak dari Terminal Larkin Sentral, Johor Baheru dan sedang dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu bas terbabit dilaporkan tidak sempat mengelak lalu merempuh di belakang sebuah lori di lebuh raya tersebut.
"Akibat rempuhan itu, bas berkenaan terbakar di lokasi kejadian dan pemandu bas seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun dan penumpang bas terdiri sembilan orang berusia antara 28 hingga 48 tahun mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pada itu tambah beliau, pemandu lori iaitu seorang lelaki berusia 35 tahun terselamat tanpa sebarang kecederaan dalam nahas tersebut.
Pemandu bas dan kesemua penumpang bas difahamkan berjaya menyelamatkan diri keluar dari bas tersebut sebelum kebakaran berlaku.
"Siasatan awal oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mendapati kejadian dipercayai berlaku pada jam 12.10 tengah malam.
"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa," tegasnya lagi.





Komen