'Bas sekolah' bawa pelajar tanpa cukai jalan, pemandu tidak berlesen kantoi
- Editorial
- 20 Nov
- 1 min membaca

HULU SELANGOR – Tindakan berani sebuah kenderaan perdagangan yang bergerak di atas jalan sebagai bas sekolah tanpa cukai jalan serta pemandu yang tidak berlesen memandu berputih mata apabila ditahan dan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.
Tindakan itu diambil JPJ menerusi Ops Khas Kenderaan Perdagangan yang dijalankan di Persiaran Kemboja, Bukit Sentosa, di sini pada Rabu.
Menurut Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan, kenderaan itu ditahan pada pukul 12.19 tengah hari selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan serius ketika membawa seramai 19 pelajar.
Katanya, antara kesalahan yang dikesan dalam operasi itu ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh pada 11 Disember 2020, ketiadaan insurans, pemeriksaan Puspakom tamat tempoh, tiada lesen memandu kelas CDL, tiada lesen PSV serta beberapa kesalahan teknikal lain.
"Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu merupakan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang memandu bas tersebut sejak satu hingga dua tahun, memberikan alasan kenderaan itu baru dibeli dan tidak mempunyai masa untuk menguruskan pemeriksaan Puspakom serta dokumentasi lain.
"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 13 saman atas kesalahan yang dilakukan dan kenderaan itu kemudiannya dibawa ke Stor Penyimpanan Kenderaan (SPK) Kalumpang untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Malah tambah beliau, JPJ Selangor sentiasa komited terhadap setiap aduan diterima dan terus menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan semua kenderaan perdagangan mematuhi peraturan ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan kesalahan lalu lintas boleh menyalurkannya melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-Aduan, lengkap dengan butiran pengadu dan butiran aduan.





Komen