Bekas pemain Kelantan FA suspek diburu kes tembak di Sungai Golok
- kumara885
- 4 Nov
- 1 min membaca

KOTA BHARU - Bekas pemain Kelantan FA tahun 2019 telah disahkan sebagai salah seorang suspek yang terlibat dalam kes jenayah tembakan terhadap rakyat Malaysia, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, sehingga maut dalam kejadian di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand pada Sabtu lepas.
Maklumat itu telah disahkan oleh Ketua Polis Kelantan, Komisioner Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi di sini.
Mohd Yusoff memberitahu, susulan kejadian tersebut polis Kelantan memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand bagi membantu pihak berkuasa memburu suspek tersebut.
“Kita tidak menolak kemungkinan bahawa suspek mungkin sudah melarikan diri ke negara ini,” katanya.
Tambah beliau, setakat ini polis Kelantan masih belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada pihak berkuasa Thailand berhubung kejadian tersebut.
Untuk rekod pada tahun 2019, suspek yang beraksi di posisi penjaga gol pernah bermain bersama pasukan Kelantan FA.
Sebelum itu, suspek turut mempunyai pengalaman beraksi di Liga Thailand bersama pasukan Yala United FC dan PT Prachuap FC.
Media pada Ahad melaporkan bahawa seorang rakyat Malaysia yang parah ditembak di sebuah rumah di Sungai Golok, Thailand, dilaporkan meninggal dunia pada malam Sabtu.
Mangsa yang dikenalpasti identitinya sebagai Mohd Fuad Fahmie yang berasal dari Kampung Kepas Apam, di sini, meninggal dunia pada jam 9 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok selepas ditembak sebanyak lapan kali di hadapan isterinya yang sarat mengandung.
Ibu Allahyarham, Zaiton Abdul Rahman, 64, berkata, beliau dimaklumkan mengenai kematian anaknya oleh menantunya, Wan Fatihah Mat Hussin, 35.





Komen