Belia Mahir sambut baik pindaan dua Akta penting berkaitan pembangunan kemahiran oleh Kesuma
- S.KUMARA
- 10 Nov 2025
- 2 min membaca

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR)
menyambut baik pembentangan pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) dan Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640) di Parlimen bagi bacaan pertama oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim di Dewan Rakyat pada hari ini.
Dalam satu kenyataan kepada malaysiatoday, Presiden Belia Mahir Mohammad Rizan Hassan menyifatkan pindaan itu sebagai satu langkah bersejarah yang amat dinanti-nantikan oleh pemain-pemain utama dalam ekosistem TVET, khususnya institusi
latihan kemahiran, tenaga pengajar, dan golongan belia yang menjadikan kemahiran sebagai jalan kerjaya.
Katanya, Belia Mahir melihat pindaan terhadap kedua-dua akta berkenaan sebagai
isyarat jelas kerajaan serius memperkukuh dasar pembangunan tenaga mahir negara dengan pendekatan lebih inklusif dan realistik terhadap keperluan semasa industri.
"Antara langkah yang disambut baik termasuk Pengiktirafan program latihan di luar National Occupational Skills Standard (NOSS) bagi tujuan pembiayaan melalui PTPK yang mana langkah ini membuka peluang kepada lebih ramai belia mengikuti latihan
berasaskan industri dan teknologi baharu;.
"Begitu juga, Peluasan tempoh pentauliahan penyedia latihan kemahiran daripada tiga kepada enam tahun, yang akan memberi kestabilan operasi kepada institusi latihan; Pengenalan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) sebagai laluan pembelajaran fleksibel bagi menyokong konsep pembelajaran sepanjang hayat;
"Dan Pewujudan kategori baharu seperti Pakar Kemahiran, Pakar Kemahiran Kanan dan Perunding Kemahiran, yang mengiktiraf kepakaran tenaga tempatan secara formal dan profesional," katanya kepada malaysiatoday hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohammad Rizan juga menambah bahawa Belia Mahir percaya langkah terbabit akan menjadi pemangkin kepada ekosistem TVET yang lebih mampan, telus dan berorientasikan masa depan, serta mampu memperkukuh peranan belia sebagai tenaga penggerak utama ekonomi negara.
Justeru katanya, pihaknya turut berpandangan bahawa pindaan terhadap Akta Tabung
Pembangunan Kemahiran (Akta 640) akan memperluas akses pembiayaan kepada pelbagai program latihan yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), sekali gus mempercepatkan agenda “TVET for All” yang kami perjuangkan.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan kesediaannya bekerjasama rapat dengan Kesuma, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), PTPK dan semua pemegang taruh TVET bagi memastikan pelaksanaan pindaan ini benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar, terutamanya belia dari kelompok B40 dan NEET (Not in Employment, Education or Training).
"Dengan semangat “Bantu Belia, Bantu Negara”, Belia Mahir optimis bahawa pindaan dua akta penting berkenaan bakal menjadi pemacu utama kepada transformasi TVET negara ke arah ekonomi berkemahiran tinggi menjelang 2030," tegasnya lagi.





Komen