top of page

Bersatu Dungun bawa usul minta Muhyiddin berehat, dua jawatan utama ditukar

  • kumara885
  • 27 Okt
  • 2 min membaca
ree

Bersatu Dungun luluskan usul minta Muhyiddin berehat, dua jawatan utama ditukar



DUNGUN – Mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Dungun memutuskan untuk mengemukakan usul agar presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berehat daripada jawatannya selain mencadangkan pertukaran Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan, lapor Sinar Harian hari ini.


Ketua Bersatu Bahagian Dungun Datuk Aziz Ismail berkata, ketetapan itu diambil hasil persetujuan bersama yang dicapai oleh kepimpinan di tiga peringkat termasuk Srikandi dan Armada dalam mesyuarat bahagian yang diadakan pada 20 Oktober lalu.


Katanya, usul tersebut bukan dibawa secara tergesa-gesa atau bersifat penentangan, sebaliknya sebagai isyarat dan mesej jelas daripada akar umbi Dungun kepada pucuk pimpinan parti.


"Usul ini bukan dibawa dalam mana-mana jelajah, tetapi hasil keputusan rasmi mesyuarat bahagian pada 20 Oktober. Kami Dungun bersedia untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan akan membawa usul ini ke peringkat lebih tinggi.


"Sebab itulah juga kita mengadakan širi jelajah bagi menjelaskan situasi sebenar apa yang berlaku di dalam parti kepada ahli, " katanya.


Aziz menambah bahawa, pada mesyuarat itu tiga usul telah diluluskan iaitu pertama supaya Presiden berehat, kedua pertukaran Setiausaha Agung, dan ketiga pertukaran Ketua Penerangan.


Jelasnya lagi, keputusan itu diambil setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk isu kesihatan dan perbicaraan mahkamah melibatkan Muhyiddin selain keperluan menstabilkan hubungan dengan rakan komponen, khususnya Pas.


Ketika ini jawatan Setiausaha Agung Bersatu disandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, manakala Ketua Penerangan dipegang oleh Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.


"Dalam konteks Terengganu, kita tidak mahu wujud kekecohan berhubung calon perdana menteri atau 'poster boy' daripada Bersatu.


"Kita perlu jaga hubungan dengan Pas kerana kerjasama ini penting untuk Bersatu kekal kuat di negeri ini, tanpa Pas mustahil kita akan menang walau satu kerusi di Terengganu," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa usul berkenaan bukan bertujuan melemahkan parti, sebaliknya satu langkah untuk mengembalikan keyakinan dan hala tuju asal Bersatu sebagai parti yang menolak rasuah serta penyalahgunaan kuasa.


Tambahnya, Bersatu Dungun berpandangan parti masih mempunyai potensi besar di Terengganu dengan sekurang-kurangnya lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan peluang di beberapa kawasan Parlimen jika disusun strategi dengan baik.


Komen


bottom of page