- kumara885
- 8 jam lalu
- 1 min membaca

KOTA BHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Machang mencadangkan agar tindakan lebih tegas diambil terhadap Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dengan memecat keahlian ahli Parlimen itu.
Gesaan itu menyusul kerana pemimpin berkenaan didakwa masih mengeluarkan kenyataan yang menyerang presiden parti tersebut.
Ketua Bahagian Bersatu Machang, Kamaruddin Ab Kadir berkata, pihaknya berpandangan tindakan tegas itu perlu diambil oleh lembaga disiplin bagi memelihara keharmonian dan maruah parti daripada terus tercalar akibat kenyataan terbuka yang boleh mengelirukan ahli serta rakyat.
“Lembaga disiplin wajar mempertimbangkan tindakan pemecatan terhadap Wan Ahmad Fayhsal.
“Beliau dilihat terus mengeluarkan kenyataan menyerang Tan Sri Muhyiddin semasa Podcast Zaid Ibrahim walaupun dalam tempoh tindakan penggantungan,” katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.
Tambah beliau, Bahagian Machang dalam pada itu menyifatkan tuduhan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin bahawa pemilihan parti ‘amat kotor dan jijik’ sebagai satu dakwaan serius dan tidak wajar, apatah lagi datang daripada pemimpin yang pernah menerima peluang dan kepercayaan besar daripada presiden parti.
Kamaruddin berkata, pihaknya turut menyeru semua pemimpin dan ahli parti agar menjaga adab serta disiplin dalam berpolitik selain mengelak daripada membuat kenyataan terbuka yang boleh menjejaskan perpaduan dalaman.





Komen