top of page

BN tak pernah paksa parti komponennya kekal atau keluar gabungan - Zahid

  • kumara885
  • 18 Okt
  • 1 min membaca
Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

SHAH ALAM, 18 Oktober – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak pernah memaksa mana-mana parti komponennya kekal atau keluar daripada gabungan tersebut.


Kata Pengerusi BN itu lagi, keputusan sama ada untuk terus kekal bersama BN atau menyertai gabungan lain merupakan hak setiap parti komponen tersebut.


“Kita terbuka kerana dulu kita ada 14 parti komponen dalam BN dan tidak ada paksaan sama ada untuk masuk ataupun untuk keluar dari BN,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan ASEAN Sports Industry Expo di Setia City Convention Centre, Setia Alam, di sini pada Jumaat.


Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika diminta oleh wartawan untuk mengulas tentang kesediaan BN sekiranya MIC mengambil keputusan untuk meninggalkan gabungan yang terjalin sejak zaman Merdeka tersebut.


Menjawab pertanyaan itu, Zahid menyatakan harapannya agar MIC kelak membuat keputusan secara bijak bagi memastikan hala tuju parti tersebut tidak membawa penyesalan pada masa hadapan.


“Sudah tentu mereka akan membuat keputusan yang bijak bagi menentukan gabungan mana yang akan mereka sertai, asalkan mereka tidak menyesal di kemudian hari,” jelas beliau.


Mengulas lanjut tentang kenyataan presiden MIC yang tidak mengundang beliau ke Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu yang akan dijadualkan berlangsung pada 16 November depan, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa beliau menghormati keputusan rakan komponen itu yang sedang menumpukan seluruh tenaga mereka kepada penyelesaian isu dalaman parti tersebut.


“AGM kali ini mereka (MIC) mahu menyelesaikan masalah dalaman parti itu. Tentu kita beri ruang seluas-luasnya untuk mereka menyelesaikan masalah tersebut,” tegasnya lagi.


Komen


bottom of page