Bot karam: 19 mangsa ditemui, seorang meninggal dunia
- S.KUMARA
- 27 Nov
- 1 min membaca

LANGKAWI – Seramai 19 kru yang dikhuatiri hilang selepas bot pancing yang dinaiki mereka dilaporkan karam semalam di Perairan Timur Laut Pulau Perak pada malam Rabu akhirnya berjaya ditemui semula.
Pasukan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) yang digerakkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Taman Laut susulan insiden itu mendapati seramai 18 mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat.
Namun, seorang daripada kru berkenaan disahkan telah meninggal dunia dalam insiden karam tersebut.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kesemua mangsa dikesan oleh kapal KD Ledang milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum diberikan rawatan awal.
“KD Ledang tiba di Jeti TLDM MAWILA 3 sekitar jam 6 pagi Khamis dan kesemua mangsa telah menjalani pemeriksaan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada pagi Khamis.
Menurut beliau, mayat seorang lelaki turut diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Selesai pemeriksaan, 18 mangsa yang selamat diserahkan kepada Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia bagi urusan susulan.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan bersyukur kerana 18 mangsa lain berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas serta koordinasi yang sangat baik antara semua agensi,” tegasnya lagi. - malaysiatoday.com.my





Komen