top of page

Bot karam Langkawi: angka kematian meningkat kepada 25 orang

  • S.KUMARA
  • 11 Nov
  • 1 min membaca
Angka kematian akibat bot karam di perairan Langkawi meningkat kepada 25 orang
Angka kematian akibat bot karam di perairan Langkawi meningkat kepada 25 orang

LANGKAWI - Tragedi bot karam yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan sempadan Malaysia–Thailand terus meragut nyawa.


Dalam perkembangan terbaharu pada Selasa, pihak berkuasa telah menemui empat lagi mayat pendatang asing sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan individu yang terkorban meningkat kepada 25 orang.


Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Romli Mustafa berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan terbaharu mayat seorang lelaki dewasa berhampiran Pulau Beras Basah.


“Bertindak atas maklumat terkini itu, sebuah aset Maritim Malaysia telah digerakkan ke lokasi dan mayat tersebut berjaya dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.


Tidak lama selepas itu, Maritim Malaysia turut menemukan mayat seorang kanak-kanak lelaki yang terapung di perairan Tanjung Chincin, diikuti penemuan satu lagi mayat yang belum dikenal pasti identitinya di kawasan sama.


Kesemua mayat yang ditemui itu telah dibawa ke Teluk Ewa untuk proses dokumentasi dan proses siasatan.


Pada jam 11.20 pagi, aset milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut melaporkan penemuan satu lagi mayat kanak-kanak lelaki berhampiran Tanjung Belua, yang kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa.


Tambah Romli, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi mengesan baki mangsa yang masih hilang.


“Maritim Malaysia bersama semua agensi sokongan kekal komited dalam usaha mengesan mangsa yang belum ditemukan. Kami akan terus memperluas kawasan pencarian,” tegas beliau. malaysiatoday


Komen


bottom of page