top of page

Bot pancing karam, lebih 8 kru dikhuatiri hilang

  • EDITOR
  • 26 Nov
  • 2 min membaca
GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

ALOR SETAR - Sekurang-kurangnya lapan orang dikhuatiri hilang selepas sebuah bot pancing dilaporkan karam dalam kejadian yang berlaku di perairan Timur Laut Pulau Perak, dekat Yan di sini pada Rabu.


Rentetan daripada maklumat itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat kru bot pancing itu yang masih berstatus hilang dalam kejadian tersebut.


Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, insiden itu dilaporkan oleh tekong bot pada jam 10.45 pagi selepas seorang kru bot terbabit memaklumkan kepadanya bot berkenaan hampir karam ketika berada di kedudukan kira-kira 14.6 batu nautika dari timur laut Pulau Perak.


"Susulan daripada laporan itu, operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan segera pada pukul 11 pagi dan segala aset APMM, KM Siangin telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan penilaian awal serta memberikan bantuan segera.


"Berdasarkan maklumat yang diterima setakat ini, dianggarkan lebih lapan kru berada di atas bot berkenaan semasa insiden karam dan identiti kesemua kru berkenaan sedang disahkan,” katanya dalam kenyataan di sini.


Tambah beliau, keadaan cuaca pada waktu kejadian juga dilaporkan agak buruk dengan angin bertiup dari arah timur laut pada kelajuan antara 30 hingga 40 kilometer sejam (km/j) manakala ketinggian ombak dianggarkan antara 1.5 hingga 2.5 meter.


Katanya lagi, beberapa kawasan perairan turut mengalami ribut petir, sekali gus meningkatkan risiko terhadap keselamatan kru dan operasi menyelamat yang sedang dijalankan.


"Bagi memperkukuh tindakan operasi di lapangan, aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Ledang turut digerakkan ke kawasan kejadian tersebut.


"Usaha menyelamat kini dilaksanakan secara bersepadu oleh kedua-dua agensi keselamatan itu manakala kapal kargo MAERSK SONGKHLA yang dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang turut membantu operasi mencari dan menyelamat itu.


"Perkembangan lanjut mengenai status kru, keadaan semasa di lokasi dan maklumat tambahan lain berkaitan operasi berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," tegas beliau lagi. - malaysiatoday.com.my


Komen


bottom of page