top of page

BUDI95: Lebih 13 juta rakyat nikmati penjimatan RM800 juta pada bulan pertama - MoF

  • kumara885
  • 2 Nov
  • 2 min membaca
ree

BUDI95: Lebih 13 juta rakyat nikmati penjimatan RM800 juta pada bulan pertama - MoF


KUALA LUMPUR - Sebanyak 13.1 juta rakyat telah melakukan transaksi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM2.66 bilion dalam bulan pertama pelaksanaannya bermula 30 Sept lepas hingga semalam.


Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan jumlah itu melibatkan pembelian 1.33 bilion liter petrol RON95 bersubsidi dengan jumlah subsidi kerajaan sekitar RM800 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.


"Ini termasuk lebih 23,000 nelayan dan pengguna bot berdaftar yang tidak memiliki lesen memandu aktif, terutamanya di Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.


Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelaksanaan BUDI95 memastikan rakyat menerima manfaat subsidi secara langsung tanpa proses yang rumit di samping membolehkan kerajaan menyalur semula penjimatan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.


"Jelas sekali program ini memberi manfaat berganda kepada rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan itu.


MOF turut menjelaskan sejak pelaksanaan BUDI95, sebanyak 16.55 juta rakyat Malaysia layak menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi, melebihi unjuran asal sebanyak 15 juta orang.



Di bawah program BUDI95, semua pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak membeli RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan.


Menurut kementerian itu, sejak 13 Oktober lepas Kerajaan Madani telah menaikkan had siling kelayakan bulanan bagi pemandu e-hailing sepenuh masa kepada 600 liter sebulan yang memanfaatkan hampir 58,000 pemandu e-hailing di seluruh negara.


"Secara purata, penerima BUDI95 di bawah kategori persendirian mencatat penggunaan sebanyak 98.2 liter sebulan untuk Oktober 2025, jauh lebih rendah daripada had kelayakan bulanan 300 liter yang ditetapkan.


"Setakat 26 Okt 2025, hanya kurang daripada 0.7 peratus jumlah penerima BUDI95 telah menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan mereka sebelum akhir bulan,” menurut kenyataan itu.


Komen


bottom of page