Bukit Aman sahkan kematian Kadet Palapes UTM diklasifikasi sebagai bunuh
- S.KUMARA
- 7 hari lalu
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari ini mengesahkan bahawa kes kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), selepas kes itu diklasifikasikan sebagai pembunuhan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, polis meneruskan siasatan bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam kematian kadet palapes tersebut selepas menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara agar kes diklasifikasikan semula sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, hasil siasatan berkaitan kes Syamsul Haris Shamsudin telah dibentangkan kepada Jabatan Peguam Negara pada Selasa.
“Peguam Negara mengarahkan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
“Siasatan diteruskan untuk mengenal pasti individu yang terlibat atau bertanggungjawab ke atas kematian tersebut,” katanya dalam kenyataan pada tengah malam tadi.
Tambah Kumar lagi, kertas siasatan telah dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan, selari dengan peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
“Masyarakat diingatkan agar tidak membuat spekulasi terhadap kes ini, sementara PDRM melengkapkan siasatan dan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini,” katanya.
Pada 28 Julai lalu, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan telah dimulakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Johor.
Pada 27 Ogos lalu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), JSJ Bukit Aman telah mengambil alih sepenuhnya siasatan kes kematian tersebut.
Ia berikutan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonan notis usul keluarga si mati untuk penggalian semula (exhumation) dan bedah siasat kali kedua.





Komen