Curiga ada kekasih: Lelaki tikam mati isteri di belakang badan
- Editorial
- Dec 1
- 1 min membaca

TANAH MERAH – Gara-gara mencurigai isterinya mempunyai kekasih, seorang lelaki warga emas telah membunuh isterinya dengan menikam dua kali di bahagian belakang badan mangsa menggunakan sebilah pisau di dapur rumah mereka dalam kejadian di Kampung Paku, Gual Ipoh, pada Isnin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, mangsa, Mastura Abdullah, 40, yang merupakan seorang tukang masak, telah bertengkar dengan suaminya berusia 63 tahun.
“Kejadian itu berlaku selepas suspek mengesyaki wanita itu mempunyai kekasih. Lelaki itu dipercayai menikam bahagian belakang badan isterinya dengan dua tikaman.
"Berdasarkan maklumat awal, mangsa dikatakan baru sahaja tiba di rumahnya dari Lembah Klang pagi tadi,” katanya kepada pemberita di sini.
Tambah beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada jam 9 pagi Selasa untuk permohonan reman bagi melakukan siasatan lanjut dalam kes tersebut.
Jelasnya lagi, polis sedang menyiasat kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun jika disabitkan kesalahannya.
Pada pagi Isnin, media melaporkan seorang isteri maut ditikam suaminya dipercayai menggunakan senjata tajam di kediaman mereka di Kampung Paku, Gual Ipoh.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian badan.
Difahamkan suspek telah tampil menyerah diri di Balai Polis Gual Ipoh di sini kira-kira jam 1 petang selepas kejadian tersebut.





Komen