Dakwaan rasuah: Shamsul Iskandar, Albert Tei direman enam hari
- S.KUMARA
- 29 Nov
- 2 min membaca

PUTRAJAYA: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini dibenarkan direman selama enam hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya di sini pagi Sabtu.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Fatin Muneerah Sofian dalam prosiding di hadapannya hari ini selepas permohonan reman dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Ia bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 membabitkan kes klip video yang memaparkan perbualan antara seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong dan seorang ahli perniagaan, Albert Tei.
Peruntukan mengikut Seksyen 16 menyebut tentang kesalahan meminta atau menerima atau bersetuju untuk menerima rasuah dan membabitkan kesalahan secara rasuah memberikan, menjanjikan atau menawarkan suapan atau dorongan.
Peguam Yusmadi Yusoff yang mewakili Shamsul Iskandar ketika ditemui media di pekarangan mahkamah berkata, perintah reman selama enam hari diberikan mahkamah selepas mengambil kira anak guamnya memerlukan rawatan bagi pelbagai penyakit dihidapinya.
"Pihak pendakwa SPRM memohon tujuh hari, namun selepas mendengar hujah peguam, majistret mempertimbangkan banyak perkara, antaranya sebab kesihatan Shamsul Iskandar yang memerlukan rawatan untuk masalah jantung, kencing manis dan darah tinggi," katanya.
Tambahnya, pihaknya juga mengemukakan laporan perubatan milik Shamsul Iskandar daripada Institut Jantung Negara (IJN) kepada mahkamah semasa proses permohonan reman tersebut berlangsung.
Justeru kata beliau, pihaknya berharap siasatan terhadap Shamsul Iskandar dapat segera diselesaikan seperti dikatakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan petang Jumaat.
"Anak guam saya telah memberikan kerjasama sepanjang dipanggil pihak SPRM.
"Pada masa sama, tindakan Shamsul Iskandar melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri mencerminkan sikap beliau yang mahu mengambil tanggungjawab dalam membersihkan namanya," ujarnya lagi.
Tegas beliau, pihaknya menyangkal dakwaan segelintir pihak anak guamnya itu melepaskan jawatan kerana bersalah.
Terdahulu, pada satu lagi prosiding berasingan, ahli perniagaan Albert Tei yang ditahan semalam di Puchong turut direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung klip video yang memaparkan perbualan antaranya dengan wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong.
Perkara itu disahkan peguamnya, Mahajoth Singh yang menemui pemberita di luar mahkamah.
Terdahulu, Albert Tei dan Shamsul dibawa ke mahkamah bagi proses permohonan reman oleh SPRM menaiki van.
Kedua-dua mereka dibawa dalam keadaan kedua-dua tangan bergari di hadapan dan berpakaian lokap berwarna jingga.
Shamsul hanya berdiam tetapi Albert Tei menjerit sambil berkata" inilah akibat melawan pemimpin tertinggi, memalukan saya, seluruh tindakan mereka siapa lagi berani melawan salah laku mereka,". -malaysiatoday.com.my





Komen