DAP Sabah tolak jawatan dalam Kerajaan Perpaduan - Anthony Loke
- S.KUMARA
- 2 Dis
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR – Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah membuat pendirian tetap bahawa pihaknya tidak akan mengambil sebarang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan di negeri Sabah semalam.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ketetapan itu dibuat oleh parti dalam mesyuarat tertinggi baru-baru ini.
Katanya, DAP telah mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pada malam Isnin untuk membincangkan keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah.
"DAP menerima isyarat yang jelas dan tidak meragukan daripada para pengundi.
“Tidak dapat dinafikan bahawa pilihan raya kali ini mencerminkan krisis keyakinan yang serius terhadap DAP dan Pakatan Harapan.
“Para pemimpin dan anggota yang terlibat dalam kempen amat peka bahawa terdapat ketidakpuasan yang meluas dalam kalangan rakyat sepanjang tempoh berkempen.
“Berikutan perbincangan dan penilaian dalaman, kami akan mengumpulkan semua maklum balas yang diterima dan berusaha bersama dengan Perdana Menteri untuk mempercepat agenda reformasi dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media pada pagi Selasa.
Tambah Anthony lagi dalam kenyataan sama, dalam mesyuarat CEC tersebut, DAP Sabah turut membentangkan keputusan mereka kepada CEC bahawa mereka tidak akan mengambil sebarang jawatan dalam kerajaan Sabah.
“Termasuk jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah lantikan.Para pemimpin DAP Sabah akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat Sabah dan berusaha mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya lagi.





Komen