Dato’ Mohd. Zin Gariskan 10 Keutamaan Strategik Pengakap Asia-Pasifik
- kumara885
- 18 Okt
- 2 min membaca

KAOHSIUNG, TAIWAN, 16 Oktober 2025 – Pengerusi Pengakap Rantau Asia-Pasifik (APR) yang baharu, YBhg. Mej. Jen. Dato’ Prof. Dr. Mohd. Zin bin Bidin telah menggariskan 10 keutamaan paling utama untuk memperkukuhkan hala tuju dan keberkesanan pergerakan Pengakap di rantau itu bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Antara keutamaan yang digariskan adalah memperkasa orang muda, menginovasi pendidikan, memperkukuh kepelbagaian dan inklusiviti serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan.
Selain itu, Dato' Mohd. Zin turut menekankan keutamaan untuk menghargai sukelawan, memastikan tadbir utus baik, memperluas capaian Pengakap (pertumbuhan), mengadaptasi transformasi digital, memajukan keamanan, perpaduan dan kelestarian serta kekal relevan dan berpengaruh.
Dato’ Mohd. Zin menegaskan bahawa keutamaan-keutamaan tersebut akan membentuk perjalanan pergerakan Pengakap rantau ini.
"Kita perlu beradaptasi, inovatif dan berdaya saing, bersedia menempuhi sebuah era yang dibentuk oleh kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan perubahan cabaran global.
“Kepengakapan tidak boleh hanya berjalan selari dengan perubahan tetapi perlu menerajui perubahan dengan memastikan orang muda dipersiapkan menghadapi dunia hari ini, ” katanya dalam ucapan khas sempena pelantikannya sebagai Pengerusi baharu APR di Kaohsiung, Taiwan, hari ini.
Pelantikan beliau diumumkan pada Persidangan Pengakap Asia-Pasifik ke-28 yang berlangsung di Kaohsiung dengan penyertaan hampir 400 perwakilan dari 30 negara.
Persidangan anjuran General Association of the Scouts of China itu menjadi medan penting untuk menilai pencapaian, membincangkan cabaran semasa serta merangka hala tuju baharu pergerakan Pengakap di rantau ini.
Pelantikan ini dilihat sebagai pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan Malaysia dalam memperkukuh pergerakan Pengakap di peringkat antarabangsa.
“Ketika kita melangkah ke hadapan, janganlah kita sekadar berbicara tentang matlamat kita sebaliknya, marilah kita menghayatinya, melaksanakannya, dan mencapainya bersama-sama.
"Biarlah triennium ini dikenang sebagai waktu di mana Rantau Asia-Pasifik bangkit dengan berani demi masa depan — bersatu, inklusif dan berpandangan jauh, ” ujarnya.





Komen