top of page

Bekas Setiausaha Politik Kanan Anwar Datuk Seri Shamsul Iskandar, Albert Tei antara tiga ditahan isu rasuah

  • S.KUMARA
  • 28 Nov
  • 2 min membaca
ree

PUTRAJAYA – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin antara tiga individu telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada petang Jumaat.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah megesahkan penahanan ketiga-tiga individu iaitu seorang ahli perniagaan, Albert Tei dan bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu.


Katanya, mereka ditahan untuk membantu siasatan kes tohmahan rasuah membabitkan pemberian wang oleh ahli perniagaan, Albert Tei kepada Shamsul Iskandar.


"Kes ini diklasifikasikan sebagai kes berkepentingan awam dan siasatan memperincikannya dijalankan dengan kadar segera bagi mengelakkan sebarang manipulasi oleh mana-mana pihak.


"Ingin saya tegaskan, kes ini merupakan kes berkepentingan awam dan atas faktor itu SPRM telah menjalankan siasatan dengan kadar segera agar tidak dimanipulasi pihak tertentu.


"Ketiga-tiga individu terbabit iaitu Shamsul Iskandar, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing serta seorang wanita, Sofia Rini Buyong telah ditahan untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada petang Jumaat tadi.


Tambah beliau, individu ketiga yang turut ditahan adalah Sofia Rini pada 27 November 2025, jam 10.30 malam selepas hadir dan memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.


Jelasnya lagi, Mahkamah Majistret Putrajaya melalui Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin kemudian membenarkan wanita itu direman selama empat hari hingga 1 Disember depan untuk membantu siasatan lanjut SPRM dalam kes tersebut.


"Sementara itu, Albert Tei yang pada asalnya dijadualkan hadir memberi keterangan pada 1 Disember, diminta tampil lebih awal namun didakwa enggan berbuat demikian.


"Maka, Albert Tei ditahan pada 28 November 2025, jam 10.15 pagi di rumahnya yang mana beliau adalah individu paling penting bagi membantu siasatan kes ini.


"SPRM turut menyerahkan notis Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Albert Tei yang memberi kuasa kepada pihak penyiasat untuk menafikan haknya berhubung dengan peguam atau mana-mana pihak lain sepanjang proses tertentu siasatan.


"Manakala, Shamsul Iskandar pula ditahan pada jam 12.51 tengah hari Jumaat ketika beliau hadir memberi keterangan kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya," tegas beliau lagi.


Justeru Azam juga memaklumkan bahawa, permohonan reman terhadap Albert Tei dan Shamsul Iskandar akan dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi Sabtu.


Beliau menegaskan SPRM komited memastikan siasatan dijalankan secara profesional dan adil mengikut undang-undang.


Azam juga menjelaskan bahawa mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan penahanan ketiga-tiga individu berkenaan mempunyai hak untuk mempertikaikannya di mahkamah.


"Pegawai penyiasat telah diarahkan untuk melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh seminggu sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara," ujarnya lagi.

Komen


bottom of page