Ditetak adik hingga parah kerana berang pintu bilik air ditendang
- kumara885
- 8 Nov 2025
- 2 min membaca

MANJUNG - Gara-gara naik angin kerana berang pintu bilik air ditendang, seorang lelaki telah ditetak adik kandung sendiri sehingga cedera parah.
Detik penuh dukacita itu menimpa lelaki dalam kejadian pergaduhan di sebuah rumah mereka di Ayer Tawar di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.30 petang.
Katanya, polis menerima panggilan orang awam yang memaklumkan mengenai pergaduhan dua beradik lelaki di sebuah rumah.
"Siasatan awal di lokasi mendapati mangsa warga tempatan berusia 56 tahun dilaporkan mengalami kecederaan di kepala dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Ayer Tawar telah menahan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an pada jam 1.55 petang, tidak lama selepas kejadian," katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek turut berjaya membawa kepada rampasan sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa.
Justeru katanya, berdasarkan keterangan diberikan, mangsa tinggal serumah bersama suspek sekeluarga.
"Pergaduhan dipercayai berlaku berpunca apabila suspek tidak berpuas hati terhadap tindakan abangnya menendang pintu bilik air ketika anak perempuannya masih berada di dalam bilik air tersebut.
"Suspek kemudian bertindak menyerang mangsa dengan parang hingga menyebabkan abangnya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
"Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan senjata.
"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Munawarah Ahmad di talian 011-1624 0391, atau Bilik Gerakan IPD Manjung di 05-688 6222 / talian WhatsApp Hotline 017-682 8005 bagi membantu siasatan," tegas beliau.- malaysiatoday





Komen