Donald Trump puji peranan Malaysia dalam rundingan gencatan senjata Thailand-Kemboja
- kumara885
- 26 Okt
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memuji peranan penting Malaysia dalam memudahkan rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja bagi memulihkan keamanan di sepanjang kawasan sempadan yang menjadi pertikaian.
Trump berkata, beliau memutuskan untuk memasukkan Malaysia dalam lawatan serantau beliau sebagai pengiktirafan kepada diplomasi aktif Malaysia dalam membantu menguruskan gencatan senjata itu.
"Saya memberitahu pemimpin Malaysia (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang merupakan seorang yang sangat baik, saya berkata, 'Saya rasa saya wajar membuat lawatan ke sini,’ dan sebab itulah kami singgah di Malaysia. Malaysia memainkan peranan yang sangat besar (dalam gencatan senjata Thailand-Kemboja),” katanya kepada pemberita di dalam pesawat rasminya, Air Force One, sejurus berlepas dari Washington sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Pesawat Air Force One yang membawa Trump dan delegasinya dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 pagi ini, dan beliau akan disambut oleh Anwar di Kompleks Bunga Raya.
Sementara itu di laman Truth Social, Trump berkata, beliau dalam perjalanan ke Malaysia untuk menyaksikan pemeteraian perjanjian damai bersejarah antara Thailand dan Kemboja.
"Saya kini dalam perjalanan ke Malaysia, saya akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Damai hebat, yang saya dengan bangganya menjadi perantara antara Kemboja dan Thailand," katanya.-BERNAMA





Komen