top of page

Dr. Mohd. Zin Dipilih Pengerusi Pengakap Rantau Asia Pasifik

  • kumara885
  • 18 Okt
  • 2 min membaca
Mohd Zin dipilih sebagai Pengerusi Pengakap Rantau Asia Pasifik semasa persidangan Pengakap di Taiwan yang sedang berlangsung sekarang. Photo:Persekutuan Pengakap Malaysia
Mohd Zin dipilih sebagai Pengerusi Pengakap Rantau Asia Pasifik semasa persidangan Pengakap di Taiwan yang sedang berlangsung sekarang. Photo:Persekutuan Pengakap Malaysia

KAOHSIUNG, TAIWAN, 18 Oktober – Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Profesor Dr. Mohd. Zin bin Bidin telah dipilih sebagai Pengerusi Pengakap Rantau Asia Pasifik yang baharu.


Pengumuman tersebut dibuat semasa Persidangan Pengakap Asia Pasifik ke-28 yang kini sedang berlangsung di Kaohsiung, Taiwan.


Bercakap mengenai pemilihan itu, Dr. Mohd. Zin menyatakan komitmennya untuk terus memperkasa Pergerakan Pengakap di rantau ini dengan memberi fokus memperkasa tadbir urus selaras dengan APR Strategy Triennial Plan 2025–2028.


"Pelantikan ini bukan sekadar satu penghormatan kepada Malaysia, tetapi juga satu tanggungjawab bersama membuka ruang untuk semua remaja di rantau Asia-Pasifik menyertai Pengakap serta mempertingkat keahlian di kalangan negara baharu di Pasifik Selatan, Rusia dan Asia Tengah.


"Bersama-sama, kita akan terus memperkasa generasi muda agar menjadi pemimpin masa depan yang berdisplin, berketerampilan dan bersedia menghadapi masa depan yang penuh mencabar," ujar Dr. Mohd. Zin.


Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap kepimpinan Malaysia dalam Pergerakan Pengakap di peringkat antarabangsa.


Ia juga mencerminkan kepimpinan strategik, semangat inovatif serta dedikasi beliau terhadap pembangunan generasi muda dan pengukuhan semangat Pergerakan Pengakap sejagat.


Dr. Mohd. Zin, seorang tokoh berwibawa dalam bidang ketenteraan, akademik dan kesihatan, merupakan individu yang berdisiplin tinggi, berwawasan luas, berintegriti serta berfikiran jauh.


Beliau juga merupakan Dekan pertama Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).


Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Perubatan Formula 1 Grand Prix Malaysia dan Pengerusi Institut Sukan Negara, selain menerima pelbagai anugerah berprestij seperti Fabulous Global Education Leaders Award (2019) dan Education Excellence Award (2015).


Hampir 400 ahli Pengakap dari seluruh rantau Asia Pasifik berhimpun di Kaohsiung bagi menghadiri persidangan selama seminggu yang dianjurkan oleh General Association of the Scouts of China (Taiwan).


Persidangan ini menghimpunkan kepimpinan daripada 33 Pertubuhan Pengakap Kebangsaan (NSO) bagi meraikan pencapaian tiga tahun lalu serta merangka hala tuju baharu Pergerakan Pengakap di rantau ini.


Usaha ini bertujuan memperkukuh perpaduan, mempererat dialog dan memperbaharui komitmen bersama dalam memajukan Pergerakan Pengakap di seluruh rantau Asia Pasifik.


Komen


bottom of page