top of page

Dua maut, seorang parah nahas tiga kenderaan

  • kumara885
  • 4 Nov
  • 1 min membaca
ree


SARIKEI - Dua penunggang motosikal maut manakala seorang pembonceng wanita dilaporkan mengalami kecederaan parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Jalan Rantau Panjang, Sarikei, kira-kira jam 10 pagi Isnin.


Ketua Polis Daerah Sarikei Superintenden Aswandy Anis berkata, mangsa Louis Asey, 58, dan Nyaring Achang, 43, telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Hospital Sarikei.


"Sementara itu, seorang wanita berusia 58 tahun yang membonceng salah satu motosikal mengalami kecederaan parah pada kaki dan kepala.


"Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sarikei menggunakan ambulans untuk rawatan segera,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.


Tambah beliau, siasatan awal polis di lokasi mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta jenis Inokom Atos iaitu seorang lelaki berusia 40 tahun, sedang dalam perjalanan dari arah Jakar menuju ke Sare telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan dua motosikal dari arah berlawanan.


"Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua penunggang motosikal mengalami kecederaan teruk pada kepala dan badan manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.


"Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Ahmad Mustaqim di talian 084-652 222 sambungan 279," ujarnya.


Komen


bottom of page