Dua Pemimpin Tertinggi Pengakap Negara Terima Anugerah Tertinggi Pengakap India
- S.KUMARA
- 27 Nov
- 2 min membaca

KUALA LUMPUR 27 Nov. — Peranan Persekutuan Pengakap Malaysia dalam membentuk sahsiah, disiplin dan jati diri generasi muda terus di pentas dunia terus mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Terbaharu, dua pemimpin tertinggi Pengakap Malaysia telah menerima penghormatan di India apabila menerima anugerah tertinggi Bharat Scouts & Guides (BSG) India pada majlis istiadat rasmi yang diadakan di bandar Lucknow, Uttar Pradesh, India.
Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Prof. Dr. Mohd Zin bin Bidin dan Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dr Mohammed Mukhyuddin bin Sarwani, masing-masing telah menerima anugerah Silver Elephant Award.
Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi BSG kepada pemimpin dewasa atas sumbangan besar mereka dalam memperkukuh pergerakan Pengakap di pentas antarabangsa.
Majlis penganugerahan itu berlangsung dengan penuh istiadat di Istana rasmi Gabenor Uttar Pradesh di Raj Bhavan, Lucknow dan disempurnakan oleh Gabenor Uttar Pradesh, Smt. Anandiben Patel sendiri bersempena Grand Finale Diamond Jubilee Celebrations dan 19th National Jamboree BSG.

Turut menerima anugerah tertinggi terbabit ialah Pengerusi, Jawatankuasa Serantau Asia Pasifik The World Association of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGGS) 2022-2025, Chempaka Emalin binti Pahamin.
Dalam pada itu, Mohd Zin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada BSG India atas pengiktirafan yang diberikan sekali gus mencerminkan penghargaan antarabangsa terhadap sumbangan dan peranan Pengakap Malaysia dalam membentuk generasi muda yang berdedikasi, berakhlak mulia, dan berwawasan global.
“Anugerah ini bukan hanya untuk kami berdua, tetapi untuk seluruh keluarga Pengakap Malaysia.
"Ia menjadi bukti jelas bahawa usaha, dedikasi, dan komitmen kita dalam memperkukuh kepimpinan belia, kemahiran hidup, dan khidmat masyarakat telah diiktiraf di peringkat dunia,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pengiktirafan ini akan terus menjadi dorongan bagi memperkukuh peranan Pengakap Malaysia dalam membina masyarakat yang berdaya saing, prihatin, dan bersatu padu, selaras dengan misi global World Organisation of Scout Movement (WOSM). - malaysiatoday.com.my





Komen