top of page
  • kumara885
  • 4 hari lalu
  • 1 min membaca
Dua remaja biadab tendang motosikal polis sehingga terjatuh dicekup
Dua remaja biadab tendang motosikal polis sehingga terjatuh dicekup

TEMERLOH - Tindakan biadab dua remaja lelaki yang bertindak berani menendang motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sehingga menyebabkan seorang anggota polis terjatuh dalam kejadian di Jalan Tengku Ismail di sini awal pagi Ahad berjaya ditangkap polis.


Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, anggota dari Balai Polis Temerloh sedang menjalankan rondaan di kawasan tersebut.


Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika menjalankan rondaan beruniform, mangsa telah melihat sekumpulan individu sedang berkumpul dipercayai untuk berlumba di tepi jalan berhampiran sebuah bank di kawasan tersebut.


"Mangsa yang berusia 23 tahun bersama rakan setugas telah bertindak menghampiri kumpulan tersebut tetapi kesemua mereka melarikan diri.


"Pengadu kemudian telah bertindak mengekori sebuah motosikal warna hitam tanpa nombor pendaftaran yang dinaiki suspek dengan membunyikan siren dan lampu amaran.


"Suspek kemudiannya diarahkan untuk berhenti namun enggan berbuat demikian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.


Mohd Nasyim berkata, salah seorang suspek telah bertindak menendang tayar motosikal mangsa sehingga menyebabkan dirinya terjatuh dan suspek pula berjaya melarikan diri.


"Mangsa mengalami kecederaan di tangan dan kaki kanan kemudian dikejarkan ke Hospital Temerloh untuk rawatan," jelasnya lagi.


Tegasnya, pihaknya segera melancarkan siasatan dan berjaya menahan kedua-dua suspek pada jam 2.30 petang pada hari sama.


"Kedua-dua remaja berusia 13 tahun itu ditangkap hasil kerjasama ahli keluarga dan polis turut merampas sebuah motosikal jenis Demak EX 90 warna hitam bagi membantu siasatan,”


"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya lagi.


Komen


bottom of page