top of page

Ejen insurans rugi lebih RM300,000 ditipu pelaburan tidak wujud

  • S.KUMARA
  • 9 Nov
  • 1 min membaca
ree


JOHOR BAHRU - Seorang ejen insurans telah mengalami kerugian sebanyak RM372,645 selepas disyaki menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud.


Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Superintenden Azrul Hisham Mohd Shaffee berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang melibatkan lelaki tempatan berusia 36 tahun.


Katanya, kejadian bermula pada 28 September lepas ketika mangsa tertarik dengan satu iklan pelaburan yang dilihat melalui laman Facebook sebelum menghubungi nombor telefon tertera.


"Mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi SDXA Global melalui Google Play dan membuka akaun menggunakan maklumat peribadi miliknya.


"Mangsa dijanjikan pulangan keuntungan hasil pelaburan namun setelah membuat pembayaran, tiada sebarang pulangan diterima,” katanya dalam kenyataan di sini.


Tambah beliau, mangsa telah membuat 26 transaksi pindahan wang ke empat akaun bank berbeza atas nama syarikat Sadokis Capital Sdn Bhd dan Sadokis Construction Sdn Bhd antara 28 September hingga 4 November lepas.


Menurut Azrul Hisham lagi, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas tidak menerima sebarang keuntungan sebaliknya diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan wang pelaburan yang kononnya sudah untung.


"Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan butiran akaun bank terlibat, merekod keterangan pihak bank serta bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk mengenal pasti pemilik nombor telefon suspek,” katanya.


Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda.- malaysiatoday


Komen


bottom of page