Empat pemimpin Dapsy Johor termasuk ketua letak jawatan
- Editorial
- 5 hari lalu
- 1 min membaca

JOHOR BAHRU – Empat pemimpin DAP Socialist Youth (Dapsy) Johor, termasuk Ketuanya, Loh Wei Jian pada Selasa mengumumkan peletakan jawatan masing-masing susulan peningkatan komitmen dalam urusan organisasi tersebut.
Wei Jian berkata, beliau bersama Setiausaha Dapsy Negeri, Suweeta Lam Xiao Wei; Setiausaha Penganjur, Lee Jia Hau dan Ahli Jawatankuasa, Lee Wan Chian telah mengemukakan surat peletakan jawatan mereka kepada pihak Sekretariat Dapsy Kebangsaan pada jam 7 pagi Isnin (1 Disember).
Katanya lagi, mereka terpaksa mengambil keputusan sukar itu selepas mendapati semakin sukar untuk mengimbangi tugas organisasi dengan komitmen kerja, keluarga dan urusan peribadi.
“Johor satu-satunya negeri yang mana parti ini (DAP) bukan sebahagian daripada kerajaan negeri.
“Selepas pertimbangan yang teliti, kami secara sukarela berundur bagi memastikan sayap negeri dapat terus berfungsi dengan baik dan lebih bersedia menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada petang Selasa.
Beliau turut menmbah bahawa keempat-empat individu yang meletak jawatan itu merupakan tulang belakang kepimpinan negeri, dan beliau menggesa Sekretariat Kebangsaan mempercepatkan proses pemilihan semula.
Justeru katanya, barisan baharu perlu ditentukan segera agar pengganti mempunyai masa mencukupi untuk merangka hala tuju sayap negeri dan memperkukuh usaha mendekati pengundi muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Sementara itu, Wei Jian turut menjelaskan bahawa beliau dan Suweeta Lam yang memegang jawatan dalam Jawatankuasa Dapsy Kebangsaan akan terus berkhidmat di peringkat pusat, dan peletakan jawatan tersebut hanya melibatkan peranan mereka di peringkat negeri Johor sahaja.
Beliau juga menegaskan sokongan penuh terhadap Ketua Dapsy Kebangsaan, Woo Kah Leong, serta empat keutamaan dasar sayap pemuda itu, iaitu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), penyelarasan kemasukan universiti, pengembalian pendidikan politik, dan pengambilan bakat muda.





Komen