Empat suspek termasuk tiga pelajar kes rogol didakwa di mahkamah pada Selasa
- kumara885
- 21 Okt
- 1 min membaca

BALING – Tiga pelajar dan seorang bekas pelajar yang ditahan sebelum ini selepas disyaki terlibat dalam penularan rakaman video serta perbuatan merogol membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun akan didakwa di Mahkamah Baling pada Selasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintenden Ahmad Salimi Md Ali berkata, pihaknya sudah menerima arahan pendakwaan daripada Timbalan Pendakwa Raya terhadap kesemua suspek yang berusia antara 15 hingga 17 tahun itu.
Menurutnya, mereka akan dibawah ke mahkamah untuk didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.
“Polis memandang serius kejadian ini dan berharap orang ramai terutama ibu bapa serta penjaga memantau kegiatan dan pergerakan anak-anak, terutamanya dalam kalangan remaja,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan tiga pelajar dan seorang bekas pelajar sebuah sekolah menengah di sini ditahan selepas disyaki melakukan rogol secara berkumpulan dan menyebarkan bahan lucah.
Penahanan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada pengadu berusia 53 tahun pada jam 8.11 malam Ahad selepas dimaklumkan guru disiplin berhubung rakaman tular anaknya yang berbogel.
Seorang daripada suspek berusia 17 tahun yang ditahan disyaki merupakan teman lelaki kepada mangsa.





Komen