- kumara885
- 4 hari lalu
- 2 min membaca

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara rasminya memperkenal dan melancarkan kejohanan Piala ASEAN FIFA di ibu negara.
Kejohanan itu bakal menghimpunkan kesemua 11 negara anggota ASEAN dalam satu pentas bola sepak serantau terbesar di bawah naungan badan induk bola sepak dunia itu.
Presiden FIFA, Giovanni Vincenzo Infantino berkata, kejohanan itu diwujudkan bagi memberi suntikan semangat baharu kepada bola sepak rantau ASEAN yang mempunyai lebih 700 juta penduduk, selain menjadi simbol penyatuan negara-negara ASEAN melalui sukan paling popular di dunia.
"Piala FIFA ASEAN ini diwujudkan untuk rantau ini membabitkan semua 11 negara anggota.
Ia akan memberi impak besar bukan sahaja di rantau Asia Tenggara, tetapi juga di seluruh dunia," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) baharu antara FIFA dan ASEAN yang disaksikan Perdana Menteri merangkap Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Infantino berkata, MoU antara FIFA dan 11 negara anggota ASEAN itu sangat istimewa.
Beliau bagaimanapun tidak bersedia menyentuh atau mengulas tentang isu penggantungan 7 pemain warisan Harimau Malaya selama setahun.
"Angka 11 itu sendiri simbolik dalam dunia bola sepak kerana satu pasukan terdiri daripada 11 pemain dan kini pasukan ASEAN lengkap, bersedia untuk menang," katanya.
Infantino berkata, ASEAN adalah salah satu rantau paling dinamik dalam dunia bola sepak dengan lebih 700 juta peminat aktif, menjadikannya antara pasaran terbesar dan paling berpotensi tinggi bagi pembangunan sukan itu.
"Kami di FIFA mahu melakukan lebih banyak perkara bersama ASEAN dan membina lebih banyak inisiatif yang membawa manfaat kepada seluruh komuniti bola sepak serantau," katanya.
Infantino berkata kerjasama itu berpaksikan tiga prinsip utama iaitu integriti dalam permainan, keselamatan persekitaran bola sepak dan pendidikan melalui sukan.
"Kami mahu memastikan bola sepak terus berkembang dalam suasana yang selamat dan mendidik generasi muda lelaki, wanita, kanak-kanak lelaki dan wanita di seluruh rantau ini," katanya.





Komen