Gamelan Pengakap SMK Seri Bayu Serikan Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat Pengakap Pulau Pinang
- S.KUMARA
- 2 Dis
- 2 min membaca

GEORGE TOWN - Pasukan Gamelan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bayu, Teluk Kumbar sekali lagi mencuri perhatian apabila mengiringi Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat Pengakap Pulau Pinang yang berlangsung di Banquet Ballroom, The TOP Penang, KOMTAR, baru-baru ini.
Seramai 15 ahli Pengakap dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 terlibat dalam persembahan khas tersebut, terdiri daripada kumpulan Pengakap Muda dan Pengakap Remaja.
Pesuruhjaya Ibu Pejabat Negeri Pulau Pinang (Pengakap Laut) merangkap guru SMK Seri Bayu Muhamad Shaqree Zakaria berkata, pasukan gamelan itu dibentuk melalui gabungan pelajar kelas muzik dan ahli Pengakap di sekolah tersebut.

“Sekolah kami memang ada kelas muzik, dan ramai pelajarnya juga ahli Pengakap. Jadi apabila dijemput untuk mengiringi majlis penganugerahan hari ini, saya bawa pelajar muzik yang juga ahli Pengakap,” katanya ketika ditemui di istiadat tersebut.
Tambah beliau, sejarah muzik tradisional di sekolah itu bermula sejak 2008, manakala penglibatan ahli Pengakap dalam gamelan bermula sekitar 2015, selepas beliau mula berkhidmat di sekolah berkenaan.
“Sebagai ahli Pengakap sendiri, saya teruskan tradisi ini supaya pelajar muzik yang menyertai Pengakap turut berpeluang memperoleh lencana ahli muzik,” ujarnya lagi.
Muhamad Shaqree turut memaklumkan bahawa pasukan gamelan SMK Seri Bayu dari kumpulan 37 bukan sekadar aktif di peringkat sekolah, malah konsisten menyertai pertandingan muzik tradisional.

“Peringkat negeri, kami sering menjadi johan, dan untuk pertandingan peringkat kebangsaan yang baru berlangsung di Pulau Pinang, kami berjaya memperoleh tempat keempat,” jelasnya.
Ini merupakan kali kedua pasukan berkenaan diundang mengiringi istiadat Pengakap, selepas kali pertama melibatkan persembahan di Hotel Raya, Bayan Leps dua tahun lalu.
Persembahan penuh disiplin dan harmoni itu sekali lagi membuktikan komitmen serta bakat generasi muda dalam memartabatkan muzik tradisional di samping mengharumkan nama Pengakap negeri Pulau Pinang. - malaysiatoday.com.my





Komen