“Gangguan Mengejut: Jangan Tuntut Notis Awal yang Mustahil” – Anthony Loke
- malaysiatoday01
- 6 hari lalu
- 2 min membaca

Kuala Lumpur - Anthony Loke memaklumkan bahawa lebih 220 insiden gangguan direkodkan pada tahun 2022, namun angka tersebut berjaya dikurangkan secara drastik kepada kurang daripada 50 kes pada tahun berikutnya.
Menurut beliau, penurunan ketara itu mencerminkan keberkesanan langkah penambahbaikan dan strategi mitigasi yang dilaksanakan oleh Prasarana Malaysia Berhad dalam memperkukuh aspek penyelenggaraan serta pengurusan aset.
“Penambahbaikan memang berlaku secara berterusan dan hasilnya dapat dilihat melalui penurunan jumlah gangguan. Usaha memperkemas penyelenggaraan telah membuahkan hasil.
“Namun, kita akui pengguna masih belum berpuas hati sepenuhnya dan kementerian juga tidak berpuas hati sepenuhnya. Tetapi untuk mendakwa tiada langsung penambahbaikan adalah tidak tepat dan tidak adil,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berhubung tahap keberkesanan program penyelenggaraan sedia ada dalam mengurangkan kegagalan aset serta memendekkan tempoh pemulihan apabila berlaku gangguan luar jangka.
Anthony turut menjelaskan bahawa kementerian telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas kepada Prasarana Malaysia Berhad bagi memastikan gangguan dapat diminimumkan dan tindak balas dipercepatkan.
Menyentuh isu notis awal, beliau berkata kebanyakan gangguan berpunca daripada masalah teknikal atau sistem isyarat yang berlaku secara tiba-tiba dan tidak dirancang.
“Bagaimana hendak memberi notis awal jika gangguan berlaku tanpa sebarang amaran? Jika ia penyelenggaraan berkala atau perubahan operasi yang dirancang, notis awal memang akan diberikan kepada pengguna,” ujarnya.
Dalam pada itu, menjawab soalan asal Syahredzan Johan (PH-Bangi), beliau berkata Rapid Rail turut melanjutkan tempoh waktu puncak sepanjang bulan Ramadan bagi menyesuaikan perubahan corak perjalanan pengguna.
Sepanjang Ramadan, waktu puncak pagi dipanjangkan dari 6.30 pagi hingga 9.30 pagi berbanding 7 pagi hingga 9.30 pagi sebelum ini, manakala waktu puncak petang dilanjutkan dari 4 petang hingga 8 malam berbanding 5 petang hingga 7.30 malam pada bulan biasa.





Komen