Gol gunting Ronaldo tambah koleksi gol ke-955 karier
- S.KUMARA
- 24 Nov
- 1 min membaca

BINTANG sensasi bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo sekali lagi membuktikan bahawa usianya hanyalah angka apabila meledakkan gol hasil jaringan akrobatik luar biasa, sekali gus membantu Al-Nassr membelasah Al Khaleej 4-1 dalam aksi Liga Pro Saudi pada Isnin.
Kapten Portugal berusia 40 tahun itu menyambut hantaran lintang dari sayap kanan dengan melakukan sepakan gunting deras yang tidak memberi sebarang peluang kepada penjaga gol lawan untuk menepis bola tersebut.
Jaringan tersebut lantas mengimbau kembali memori gol ikoniknya di Turin suatu ketika dahulu dalam Kejohanan Bolasepak Liga Juara-Juara Eropah.
Skuad kendalian Jorge Jesus mempamerkan dominasi sejak wisel permulaan, dengan Joao Felix menjadi watak penting pada babak pertama apabila merekodkan satu gol dan satu bantuan jaringan.
Terdahulu, Ronaldo hampir mencetak nama sebagai penjaring menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti dan satu percubaan jarak dekat, namun kedua-duanya berjaya diselamatkan dengan cemerlang oleh penjaga gol, Moris.
Aksi tersebut turut disajikan dengan drama layangan kad merah kepada pemain Al Khaleej.
Sentuhan penyudah Ronaldo melengkapkan kemenangan bergaya itu menjadikan ia gol ke-955 dalam karier gemilangnya.
Kemenangan ini memastikan Al-Nassr terus mengekalkan rekod bersih tanpa kalah musim ini dengan sembilan kemenangan daripada sembilan perlawanan.
Ronaldo baru sahaja kembali menyertai kelab selepas tugasan antarabangsa bersama Portugal.
Walaupun dilayang kad merah ketika aksi menentang Ireland, beliau tetap meraikan kejayaan pasukan negaranya yang sah layak ke Piala Dunia.
Jika disenaraikan, Ronaldo bakal mencipta sejarah baharu dengan penampilan keenam di pentas Piala Dunia, sekali gus mengukuhkan lagi statusnya sebagai salah seorang pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman.- Agensi





Komen