top of page

Guru matematik mengaku tidak bersalah sentuh kemaluan murid lelaki

  • Editorial
  • 1 Dis
  • 1 min membaca
ree

KUALA LUMPUR - Seorang guru sekolah telah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Muar, Johor pada Isnin atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki dalam bilik guru, Ogos lalu.


Tertuduh Mansor Ramly, 58, yang mengajar mata pelajaran Matematik itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.


Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan menyentuh alat sulit murid Tahun Enam berusia 12 tahun dalam bilik guru sebuah sekolah kebangsaan di Batu Pahat, antara jam 12.20 hingga 1.20 tengah hari, 5 Ogos lalu.

Berdasarkan laporan, mangsa dipanggil tertuduh ke bilik guru sebelum diperlakukan sedemikian.


Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.


Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16 membabitkan tambahan hukuman penjara maksimum lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali.


Kejadian itu hanya terbongkar selepas mangsa menceritakannya kepada guru disiplin dan diarahkan untuk membuat laporan polis.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh diwakili peguam, Haressh Tamilselvan.


Mahkamah selepas mendengar hujah kedua-dua pihak membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan memerintahkannya melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan serta tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan termasuk mangsa sehingga kes selesai.


Mahkamah turut menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Komen


bottom of page